Orang ramai dan masyarakat amnya sudah mulai bising dengan kes nurin jazlin jazimin yang semakin hari masih belum mendapat kepastian di manakah pembunuhnya itu bersembunyi.

Memang pengecut betul. Biasalah kalo dah buat jenayah, takkanlah nak berjalan-jalan ke tempat awam. Itu akan menyusahkan dirinya untuk merengkuk dalam penjara buat selama-lamanya.

Macam mana nak cari pembunuh tersebut? Di manakah beliau berada? Masih di malaysia atau ke luar negara? Atau sedang merancang sesuatu? Atau sedang menukar identitinya itu agar tidak dikenali? Bagaimanakah rupanya identitinya yang baru itu?

Ganjarannya bagaimana? Apa gunanya ganjaran yang banyak selagi pembunuh nurin jazlin tidak ditemui? Atau adakah kes nurin akan berakhir tanpa sebarang tangkapan?

==============================================

KUALA LUMPUR, 22 Okt - Selepas sebulan kematian Nurin Jazlin Jazimin akibat dibunuh dengan kejam, orang ramai terus meluahkan rasa tidak puas hati terhadap siasatan polis apabila pembunuh kanak-kanak berusia lapan tahun itu masih bebas.

Keluarga arwah Nurin Jazlin, turut menjadi tempat orang ramai meluahkan rasa marah dan kecewa termasuk dengan menghantar SMS, menelefon dan surat yang mahu pihak polis segera menangkap penjenayah terbabit.

“Hingga ke hari ini saya masih menerima banyak SMS daripada orang ramai termasuk dari Singapura, Sabah dan Sarawak yang mahu polis segera tangkap penjenayah itu… malah ada yang syorkan saya siasat sendiri.

“Saya tak mampu buat apa-apa selain menunggu hasil siasatan polis. Apa daya saya nak cari pembunuh tu? Saya tak kenal dia, lagipun dunia ni bukannya kecil,” kata Jazimin Abd Jalil ketika ditemui Bernama di rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju, di sini hari ini.

Beliau berkata harapannya untuk melihat penjenayah terbabit segera di bawa ke muka pengadilan lebih tinggi daripada harapan orang ramai yang mahu perkara sama berlaku.

“Saya tak mahu perkara ni terjadi pada orang lain. Selagi dia (pembunuh) terlepas bebas, selagi itulah hidup kami rasa tak selamat,” katanya.

Sementara itu isteri Jazimin, Norazian Bistaman berkata beliau sekeluarga terpaksa menangguhkan hasrat untuk berpindah ke rumah sewa baru kerana belum mendapat jawapan dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Norazian berkata beliau telah memohon mendapatkan rumah sewa DBKL sejak tahun lepas tetapi hingga kini tiada sebarang jawapan yang diterima.

“Kami harap DBKL dapat mempercepatkan permohonan sebab kami ingin keluar dari rumah ini bagi memulakan kehidupan baru dan melupakan peristiwa pahit yang menimpa kami sekeluarga,” katanya.

Nurin Jazlin, pelajar tahun dua Sekolah Kebangsaan Desa Setapak di sini dilaporkan hilang pada 20 Ogos lepas setelah keluar bersendirian untuk ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju di sini. Mayatnya ditemui 17 Sept di dalam sebuah beg sukan yang ditinggalkan di hadapan sebuah kedai di Petaling Jaya.

Polis sebelum ini menyiarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan imej seorang lelaki menaiki motosikal jenis Modenas Kriss dengan membawa sebuah beg sukan jenama Diadora berwarna biru dan hitam.

Lelaki itu sambil membuat panggilan telefon dilihat berlegar-legar di kawasan itu sebelum mengangkat dan meninggalkan beg tersebut di tepi tangga tingkap bawah premis itu lalu beredar dari kawasan berkenaan.

akhbar online