percutian ke tanah lembap
jom kita pi jenguk kota tanah lembap yang memukau keindahan alam maya.
bagaimana anda boleh ke sana. anda boleh ke sana dengan pakej percutian yang anda boleh perolehi dari ejen pelancongan yang menyediakan pakej percutian yang menarik kepada mereka yang berminat…
selamat bercuti…
=============petikan harian metro===============
Santai Teroka keindahan tanah lembap
Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my

DARI jauh, kelihatan kelibat sekumpulan bangau berkaki panjang merah jambu berlegar di kawasan paya air tawar Taman Wetland, Putrajaya.
Ada yang berterbangan mencari makanan di sekitar tasik. Yang lain, terbang bebas seakan menikmati keindahan flora dan fauna di taman itu.
Burung bangau dikenali sebagai ‘painted storks’ itu terbang sejauh 50 kilometer (km) dari habitat asal di Zoo Negara, selepas menyedari kewujudan santuari hidupan di pusat pentadbiran persekutuan itu.
Umpama pedagang di perantauan, burung berbulu putih dengan celoreng hitam di sayapnya itu dilihat datang pada waktu pagi, sebelum terbang pulang ke Zoo Negara sebelah petang.
Bangau ini bukanlah tarikan tunggal Wetland Putrajaya di Presint 13 yang beroperasi sejak 1998.
Mengikut rekod, kira-kira 85 spesies burung menjadikan kawasan itu sebagai habitat termasuk pucung keladi, pucung serandau, pucung bendang, bangau kecil dan ruak-ruak.
Tanah lembap atau ‘wetland’ itu semakin meriah apabila menjadi persinggahan bangau kecil dari hemisfera selatan, selepas beberapa bulan melarikan diri dari cuaca sejuk di hemisfera utara.
Ia dibangunkan bukan saja sebagai tarikan pelancongan, tetapi sebagai sistem kawalan banjir dan penampung sistem penapisan air semula jadi keseluruhan Tasik Putrajaya seluas 600 hektar yang mengelilingi pusat pentadbiran kerajaan itu.
Menjadi antara tarikan pelancongan pertama dibangunkan, Wetland Putrajaya seluas 198 hektar, meliputi Taman Wetland untuk tujuan rekreasi seluas 136 hektar, manakala bakinya 162 hektar adalah kawasan berpaya.
Kawasan berpaya terbentuk daripada 24 paya kecil di sepanjang Sungai Chuah dan Sungai Bisa. Ia mewujudkan pelbagai jenis habitat - sistem tasik air terbuka, kawasan rawang, kolam dan hutan paya.
Habitat buatan yang ditanam 70 spesies tanaman paya ini turut menjadi rumah baru kepada 26 spesies tumbuhan rawang, pelbagai jenis burung darat dan laut, serangga air, pepatung, rama-rama, labah-labah, reptilia, amfibia dan mamalia kecil.
Melengkapkan lagi sistem ekologi taman itu, kira-kira 24 spesies ikan dilepaskan secara berperingkat dalam kawasan paya dan tasik.
Habitat tanah kering yang memagari kawasan berair dibarisi deretan pokok kelapa sawit, menjadi tempat tinggal pelbagai hidupan liar termasuk spesies musang pulut, kucing batu dan tenggiling.
Dari ladang kelapa sawit yang kering dan gelap, tanah lembap itu berubah wajah menjadi persekitaran terbuka dihiasi hamparan rumput butang, rumput kercut, para air, rumput kelutut dan rumput menderong.
Dua denai iaitu Denai Alam Wetland dan Denai Alam Tanah Lapang disediakan untuk kemudahan pengunjung meneroka tarikan taman sambil menikmati keindahan alam semula jadi.
Denai Alam Wetland membawa pengunjung menyusuri pinggir paya menerusi laluan menyeberangi tebat batu. Pengunjung boleh melihat pelbagai spesies tumbuhan paya dengan bentuk batang dan bunga berbeza.
Mereka berpeluang melihat hidupan air seperti ayak-ayak dan ikan pelaga. Jika langkah kanan, pengunjung berpeluang melihat pelbagai jenis burung liar dan pepatung yang bergantung hidup kepada sumber makanan di Wetland.
Denai Alam Tanah Lapang membawa pengunjung melalui kebun getah, tanaman hiasan dan pokok yang mempunyai manfaat dalam bidang perubatan.
Jurupandu bersedia membawa anda menyusuri denai yang memakan masa kira-kira satu setengah jam. Pengunjung dinasihatkan supaya membawa teropong, kamera, buku catatan dan baju hujan.
Taman Wetland turut menempatkan Pusat Penghayatan Alam meliputi kedai cenderamata, sudut pameran kraftangan, bilik audio visual dan kafeteria.
Pengunjung bukan saja boleh berkelah tetapi boleh berbasikal sambil menikmati keindahan alam Taman Wetland. Bagaimanapun, kunjungan ke sini tidak lengkap sekiranya tidak menjejakkan kaki ke menara pandang jauh setinggi 80 meter untuk menyaksikan keindahan panorama sebahagian besar Putrajaya.
>>INFO
# Taman Wetland, turut mempunyai tarikan terbaru iaitu Pusat Rekreasi Air yang menyediakan aktiviti memancing dan berkayak selain menjadi kawasan menjamu selera sambil bersantai bagi keluarga pada hujung minggu.
# Kawasan yang mampu menjadi lubuk bagi pemancing ini dibuka kepada awam dan ia menawarkan kegiatan memancing konsep ‘tangkap dan lepas’ kerana tidak semua ikan yang ditangkap di situ dibenarkan dibawa pulang.
# Taman Wetland dibuka setiap hari dari 9 pagi hingga 7 petang manakala Pusat Rekreasi Air dibuka dari pukul 10 hingga 6.30 petang pada Selasa hingga Jumaat dan 10 pagi hingga 7 malam pada hujung minggu dan cuti umum.
RUJUKAN PERCUTIAN
Tourism Malaysia
http://www.tourism.gov.my/
Tel: 03-2615 8188
Faks: 03-2693 5884 / 2693 0207
Tourism Infoline: 1-300-88-5050
===================petikan harian metro====================




Leave a Reply