Kembara yang sengsara
Kita renungkan sedikit kisah pengajaran di samping anda berehat dan bersantai merehatkan minda anda. jadikan ia sebagai panduan dan pedoman masa depan. bagi mereka yang akan kembali ke pangkal jalan…. teruskan usaha anda untuk mendekatkan diri ke jalan yang benar. masih ada pintu taubat untuk mereka yang mahu kembali ke pangkal jalan.
Harapkan kemewahan, namun tersiksa akhir….
————————————–
Ketika usianya baru 16 tahun dan belajar di tingkatan empat, dia mampu meraih pendapatan hingga RM16,000 sebulan.
Yang perlu dilakukan hanya menaiki kapal terbang dari bandar ini ke Kuala Lumpur dan menjual tubuh pada lelaki kaya setiap hujung minggu.
Namun, kemewahan hidup Lina (identiti sebenar dirahsiakan) yang dinikmati selama setahun itu ternyata bukan percuma apabila dia menerima pembalasan dosa yang menakutkan selepas disyaki dijangkiti virus HIV.
Kisah hidup Lina yang kini berusia 18 tahun didedahkan kepada Metro Ahad oleh Pengasas Rumah Masyarakat Prihatin (RMP), Zaimah Hussein.
Zaimah berkata, kes Lina dikesan apabila remaja itu datang ke RMP di Bachok, dekat sini, pertengahan tahun lalu, untuk mendapatkan bantuan dan bimbingan selepas menyedari dirinya dijangkiti virus HIV.
“Lina memberitahu kami, selepas lebih setahun menjadi pelacur sambilan dengan pendapatan mewah, dia mula menyedari kesilapannya selepas melihat iklan kesedaran mengenai penyakit HIV/Aids.
“Tambahan pula, ketika itu dia semakin kerap demam dan tiada selera makan. Selepas mendapat tahu mengenai RMP yang memberi kaunseling dan melindungi penghidap penyakit berbahaya itu, dia secara sukarela datang kepada kami,” katanya.
Menurut Zaimah, menerusi sesi kaunseling, terbongkar kegiatan hitam Lina yang mengejutkannya apabila remaja itu memberitahu, dia melacurkan diri di Kuala Lumpur dan mendakwa segala urusan, termasuk mencari pelanggan, diuruskan oleh satu sindiket.
Katanya, kegiatan tidak bermoral Lina bermula daripada ketagihan menonton cakera padat video (VCD) lucah sejak berusia 13 tahun yang kemudian menyebabkan dia terdorong melakukan hubungan seks dengan teman lelaki ketika usianya 16 tahun.
Seronok dengan perlakuan sumbang itu, Lina melakukannya dengan lebih ramai remaja lelaki kenalannya sebelum mula mengenakan bayaran jika ingin menidurinya.
“Lina berasal daripada keluarga miskin. Di rumah, dia kelihatan seperti anak yang baik dan sering berkurung, tapi di luar rumah, sikapnya jauh berbeza. Akibat pengaruh rakan, Lina bertukar menjadi gadis liar.
“Dia ingin hidup mewah seperti mengenakan pakaian berjenama dan memiliki telefon bimbit model terkini.
“Akibatnya, kejelitaan wajahnya yang dianugerahkan Allah disalah guna dengan menawarkan khidmat seks dan mengenakan bayaran untuk mendapatkan wang dengan cara mudah,” katanya.
Menurut Zaimah, akibat pengaruh rakan juga, Lina mendakwa diperkenalkan kepada seorang lelaki kacak yang didakwanya ahli sindiket memperdagangkan tubuh gadis remaja kepada lelaki kaya.
Ibarat rezeki datang bergolek, Lina terus bersetuju tanpa berfikir panjang dengan syarat ditetapkan lelaki terbabit yang memintanya pergi ke ibu kota setiap hujung minggu untuk melayan pelanggan.
Zaimah berkata, Lina yang sebelum itu tidak pernah menaiki pesawat serta jarang bertandang ke Kuala Lumpur terus seronok dengan tawaran itu.
“Dia berasakan dirinya seperti selebriti apabila kali pertama melakukan ‘tugasannya’, dia dijemput di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan kereta mewah sebelum dibawa ke sebuah hotel bertaraf lima bintang.
“Lina memberitahu, pelanggan pertamanya adalah pelancong asing dan dia menerima bayaran RM3,000 untuk khidmat seks yang diberinya sepanjang satu malam. Dia seronok kerana tidak pernah melihat wang sebanyak itu.
“Sejak itu rutin hidup Lina berubah. Setiap malam Jumaat, dia ke Kuala Lumpur dengan kapal terbang dan pulang semula ke Kelantan pada Sabtu malam Ahad. Keesokan paginya dia ke sekolah seperti biasa,” katanya.
Zaimah berkata, ibu bapa dan guru tidak dapat mengesan kegiatan sumbang Lina kerana dia pelajar pintar dalam bidang akademik dan turut aktif dalam kegiatan atau kokurikulum.
Dia juga bijak menyembunyikan kemewahannya apabila tidak berbelanja terlalu boros.
“Lina memberitahu, dia memperoleh antara RM3,000 hingga RM4,000 seminggu, tapi separuh daripada wang terbabit disimpan dalam buku simpanan demi masa depan.
“Namun, Lina tidak memberi wang diperolehnya kepada ibu bapanya kerana tahu itu wang haram, lagipun dia bimbang kegiatannya terbongkar,” katanya.
Menurut Zaimah, sepanjang terbabit dengan kegiatan pelacuran, Lina mengaku melakukan hubungan seks dengan lebih 100 lelaki tempatan dan asing sehingga dia akhirnya menerima padah apabila dijangkiti virus HIV, pertengahan tahun lalu.
“Kini baru Lina menyesal dan insaf dengan perbuatannya. Dia mula berhenti melacur ketika di tingkatan lima selepas pihak kami memberi kaunseling kepadanya.
“Selepas doktor mengesahkan dia dijangkiti virus HIV, Lina nekad berhenti sekolah. Kini dia datang sekali-sekala ke RMP untuk mendapat bimbingan dan sokongan daripada kami,” katanya.
Laporan harian metro.




June 23rd, 2008 at 8:38 am
duit pun dapat sedap pun dapat.. apa lagi nak..